5 Tip untuk Menguruskan Hutang dengan Lebih Baik

Hutang mungkin tidak boleh dilupuskan serta-merta, terutamanya jika anda telah membuat pelaburan penting seperti membeli rumah. Walau bagaimanapun, hutang boleh diuruskan dengan lebih efektif supaya anda mempunyai kawalan yang lebih baik terhadap situasi kewangan anda. Jika hutang anda diurus dengan baik, ini akan memberi kesan yang positif terhadap kesihatan kredit anda dalam jangka masa panjang.

Berikut ialah 5 tip mengenai cara menguruskan hutang anda dengan lebih baik.

1. Rekod Perbelanjaan Anda dan Buat Senarai.

Cara terbaik untuk mengawal hutang ialah dengan menganalisis tabiat perbelanjaan anda dan mengenalpasti semua perbelanjaan yang tidak diperlukan. Cuba ini: untuk tempoh masa sebulan, rekod setiap sen yang anda belanjakan, termasuk apa yang anda anggap sebagai perbelanjaan kecil (seperti makanan atau tiket wayang). Dengan melakukan ini, anda akan dapat melihat dengan jelas berapa banyak perbelanjaan anda dan bagaimana anda boleh mengurangkannya.

Seterusnya, buatkan senarai semua kewajipan hutang anda dan faedah yang anda dikenakan untuk setiap pinjaman tersebut. Susun semuanya mengikut kadar faedah, dari yang tertinggi sehingga ke terendah. Sebaik sahaja anda melakukan langkah-langkah ini, lebih mudah untuk lihat di mana anda boleh mengurangkan perbelanjaan anda.

Cara yang baik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kewangan, kredit dan skor kredit adalah untuk mendapatkan dan menyemak laporan kredit penuh anda. Contohnya, laporan MyCTOS Score penuh akan memberikan anda gambaran menyeluruh mengenai kesihatan kredit anda dan memberi anda gambaran mengenai kedudukan anda di mata bank dan peminjam.

2. Kurangkan Perbelanjaan yang Tidak Penting.

Tambah semua perbelanjaan dalam senarai anda dan bandingkannya dengan jumlah pendapatan bulanan anda. Jika ianya kurang dari apa yang anda peroleh, gunakan wang tambahan untuk membayar hutang anda. Sekiranya melebihi pendapatan anda, cari perbelanjaan yang boleh dielakkan atau yang tidak penting.

3. Kurangkan Perbelanjaan Tetap.

Cari cara kreatif untuk menurunkan bil-bil rumah, pindah ke kawasan dengan sewa yang lebih murah atau biayai semula gadai janji anda untuk mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah. Jika anda mempunyai rekod pembayaran yang baik, anda boleh meminta syarikat kad kredit anda untuk mempertimbangkan penurunan kadar faedah yang mereka telah tetapkan untuk anda.

4. Cari Jalan untuk Meningkatkan Pendapatan Anda.

Pertimbangkan sama ada cara untuk meningkatkan gaji anda, seperti kerja lebih masa atau bekerja pada hari cuti umum. Anda mungkin juga ingin memikirkan pendapatan sekunder, seperti mengajar secara sambilan atau menjalankan perniagaan ‘online’.

5. Langsaikan Hutang dengan Kadar Faedah yang Tertinggi Terlebih Dahulu.

Sebaik sahaja anda mengetahui jumlah maksima yang anda mampu bayar setiap bulan, selesaikan hutang dengan kadar faedah yang tertinggi terlebih dahulu. Dengan berbuat demikian, anda akan jimat dalam jangka masa panjang.