Bagaimana Bank dan Pemberi Pinjaman Menilai Taraf Kredit Anda

Artikel ini diterbitkan oleh ringgitplus.com bersama CTOS.

Apabila anda memohon pinjaman atau kad kredit, bank dan pemberi pinjaman akan melalui satu siri langkah untuk memutuskan sama ada anda membawa risiko kredit tinggi atau rendah sebelum meluluskan atau menolak permohonan anda. Tetapi apakah yang dimaksudkan dengan risiko rendah, dan bagaimanakah bank dan pemberi pinjaman menilai status risiko kewangan anda?

Pertama, mempunyai gaji yang tinggi tidak semestinya akan menjamin kelulusan pinjaman atau permohonan kad kredit anda – kemudahan kredit yang sedia ada (seperti pinjaman kereta atau pinjaman rumah) dengan bank atau pemberi pinjaman juga tidak boleh menjamin kelulusan permohonan anda.

Faktor yang mendorong bank dan pemberi pinjaman untuk menawarkan pinjaman kepada anda adalah tahap kesihatan kredit anda – semakin tinggi tahapnya, semakin rendah risiko anda sebagai peminjam. Berikut adalah beberapa faktor yang dinilai oleh bank dan pemberi pinjaman sebelum membuat keputusan sama ada anda layak menerima pinjaman atau kredit:

Rekod Pembayaran dan Tabiat Perbelanjaan Anda

Anda mungkin terkejut jika mengetahui betapa banyak maklumat yang bank dan pemberi pinjaman boleh lihat mengenai rekod-rekod kewangan anda. Sekiranya anda terlepas bayaran atau lewat membayar bil, bank dan peminjam akan lebih cenderung untuk menilai anda sebagai pelanggan yang tidak stabil kesihatan kreditnya – ini akan memberi kesan negatif terhadap permohonan kad kredit atau pinjaman anda. Berita baiknya ialah anda boleh membina semula rekod pembayaran anda.

Berikut adalah cara anda boleh melakukannya; sebagai panduan praktikal, rekod anda akan kekal selama 24 bulan setelah anda selesai membayar semua hutang anda, setelah itu rekod tersebut akan dilupuskan dari laporan kredit anda. Oleh itu, jika anda mempunyai rekod pembayaran yang kurang baik tapi ingin memohon kad kredit atau pinjaman, mulakan membina rekod pembayaran yang baik sekurang-kurangnya 24 bulan sebelum anda membuat permohonan dengan membayar bil-bil anda tepat pada masanya.

Jumlah Pinjaman Anda

Anda mungkin memperoleh gaji lima angka setiap bulan, tetapi jika anda juga dibebani dengan banyak kemudahan kredit (seperti gadai janji, pinjaman kereta, kad kredit, pinjaman peribadi, dan akaun ansuran), sukar untuk meyakinkan bank dan pemberi pinjaman bahawa anda berisiko rendah.

Secara umumnya, hutang anda tidak boleh melebihi 60% daripada jumlah pendapatan bersih anda semasa memohon pinjaman atau kad kredit. Semakin kurang hutang anda, semakin besar kemungkinannya bagi bank dan pemberi pinjaman untuk meluluskan permohonan anda.

Tempoh Rekod Kredit

Walaupun bank dan pemberi pinjaman secara amnya meminjamkan wang kepada mereka yang baru mula membina rekod kredit (seperti graduan baru dan peminjam kali pertama), mereka lebih cenderung melihat anda sebagai peminjam risiko rendah jika anda mempunyai rekod kredit yang lebih panjang.

Rekod kredit anda termasuk jumlah tahun yang anda mempunyai kemudahan kredit (seperti akaun pinjaman dan kad kredit) serta umur purata semua akaun kredit anda.

Campuran Kredit Anda

Campuran kredit merujuk kepada jenis kredit yang anda ada, termasuk kad kredit, pinjaman kereta, pinjaman gadai janji, pinjaman pelajar, dan pinjaman ansuran (misalnya dari kedai perabot atau gedung perkakas). Mempunyai pelbagai jenis kredit memberikan bank dan pemberi pinjaman tanggapan baik terhadap tahap kredit anda. Namun, jangan memohon kredit hanya untuk mempunyai campuran kredit semata-mata, kerana ia tidak semestinya faktor penyumbang besar untuk meyakinkan bank dan pemberi pinjaman.

Berapa Kerap Anda Memohon Kredit Baru

Berapa banyak kredit baru yang anda gunakan dalam tempoh enam bulan yang lalu? Atau, dalam tempoh tiga bulan yang lalu? Perbuatan membuka akaun kredit yang banyak dalam tempoh yang singkat boleh membuat anda kelihatan seperti peminjam berisiko tinggi kepada bank dan pemberi pinjaman. Sebabnya mudah; bank dan pemberi pinjaman mungkin menganggap bahawa anda akan mengalami masalah kewangan atau aliran tunai.

Bagaimana CTOS Boleh Membantu Anda

Ramai di antara kita yang biasa mendengar nama CTOS. Akan tetapi, bertentangan dengan kepercayaan popular, CTOS bukan senarai hitam – dan juga tidak menawarkan penilaian tentang status kewangan anda kepada bank dan pemberi pinjaman. CTOS hanya mengumpul, menyusun dan menyediakan maklumat kredit selaras dengan Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010.

Bank dan pemberi pinjaman mungkin merujuk kepada maklumat kredit yang dikumpulkan untuk memutuskan sama ada mereka mahu meluluskan permohonan kredit anda; tetapi keputusan akhir terletak di tangan mereka kerana mereka masing-masing mempunyai cara penilaian risiko mereka tersendiri, termasuk dasar perniagaan dan strategi.

Ringkasnya, CTOS mewujudkan ketelusan antara anda dan pemberi pinjaman untuk membantu meningkatkan peluang anda untuk mendapatkan kelulusan untuk sebarang permohonan kredit. Ini amat berguna, kerana bank dan pemberi pinjaman mendapat akses kepada maklumat kredit anda, dan anda sebagai pengguna juga boleh menggunakan perkhidmatan CTOS untuk mengetahui tahap kesihatan kredit anda dan cara memperbaikinya.

Anda boleh melakukan pemeriksaan sendiri laporan kredit anda dengan mendaftar untuk ID pengguna CTOS di www.ctoscredit.com.my atau melalui aplikasi mudah alih CTOS untuk mendapatkan laporan MyCTOS Score anda!

Pantau Skor Kredit Anda dengan Laporan MyCTOS Score

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kesihatan kredit anda, anda perlu meneliti laporan kredit dan skor kredit anda terlebih dahulu. Di sinilah laporan MyCTOS Score boleh membantu anda. laporan MyCTOS Score adalah laporan kredit komprehensif yang mewakili tahap kesihatan kredit seseorang. Ia juga mengandungi butiran mengenai pengesahan identiti anda (dalam kes kecurian identiti), rekod CCRIS, pendedahan perniagaan, pengarah, muflis, penghakiman mahkamah dan rekod tindakan undang-undang.

Di samping itu, ia juga memberitahu anda CTOS Score anda – skor kredit tiga digit yang membolehkan bank dan pemberi pinjaman menilai risiko kredit anda. Ia bermula dari 300 (tidak baik) hingga 850 (sangat baik), dan semakin tinggi skor kredit anda, semakin rendah risiko anda sebagai peminjam. Anda boleh mengetahui lebih lanjut mengenai CTOS Score di sini.

Jadi, apakah CTOS Score anda?