3 Perkara Anda MUNGKIN TIDAK TAHU Mengenai Skor Kredit

Kebanyakan orang tahu akibat mempunyai rekod kredit yang tidak baik. Apa yang kurang jelas kepada masyarakat am ialah apa sebenarnya skor kredit dan bagaimana cara memperbaiki skor yang rendah.

Di sini, kami huraikan beberapa perkara mengenai kredit yang anda mungkin tidak ketahui.

1. Ia tidak rumit seperti yang anda sangkakan

Ramai yang cenderung menganggap kredit sebagai perkara misteri, kompleks dan mustahil untuk difahami. Walhal, skor kredit sebenarnya mudah difahami.

Usah menyukarkan diri anda untuk memahami kredit. Kredit pada asasnya berkaitan dengan 3 perkara:
• Membayar bil tepat pada masanya setiap bulan.
• Memastikan baki anda serendah mungkin.
• Tidak memohon terlalu banyak kredit dengan kerap.

Lakukan tiga perkara ini berulang kali, dan kredit anda akan kekal baik. Jelas sekali, lebih mudah diperkatakan daripada melakukan perkara-perkara tersebut, terutamanya memastikan baki sentiasa rendah. Jika anda boleh menanganinya, anda berkemungkinan besar tidak perlu risau mengenai status kredit anda seumur hidup.

2. Ia tidak selalunya penting

Sekiranya anda merancang untuk memohon pinjaman hartanah, kereta atau kad kredit pada masa akan datang, anda perlu berhati-hati dengan skor kredit anda terutama sekali jika skor anda rendah. Dalam situasi ini, anda perlu mengambil langkah untuk meningkatkan skor kredit anda, atau sekurang-kurangnya elakkan dari melakukan sesuatu yang boleh merosakkan skor anda.

Kebanyakan masa, anda tidak perlu risau sangat mengenai skor kredit anda. Jika anda tidak mahu memohon pinjaman, insurans kereta atau cuba menyewa pangsapuri baru dalam jangka masa pendek, anda tidak perlu terlalu risau mengenai skor kredit anda. Anda hanya perlu terus membayar bil-bil anda tepat pada masanya dan pastikan baki anda serendah mungkin. Apabila anda memerlukan skor yang baik, ianya sudah sedia ada untuk anda.

3. Skor yang tinggi akan jatuh jika tidak dijaga

Akhirnya, anda mendapat skor kredit impian anda. Anda bekerja keras untuk menurunkan baki-baki yang besar, dan membuat setiap bayaran tepat pada masanya, dan sekarang sudah tiba masanya untuk berehat dan menikmati hasil kerja anda. Lagipun, apa yang mengambil masa yang lama untuk dibina tidak mungkin jatuh begitu cepat – bukan?

Salah. Walaupun anda hanya terlepas atau lewat bayar satu bil, skor kredit anda boleh turun secara mendadak. Walaupun setiap kes individu berbeza, seseorang yang mempunyai skor yang tinggi mungkin lebih mudah menghadapi penurunan skor kredit berbanding dengan orang yang skornya rendah. Walau apa pun skor anda, perkara utama untuk diingati ialah kesilapan boleh menjejaskan kredit anda.

Berita baiknya ialah banyak kesilapan biasa sebenarnya boleh dielakkan. Sebagai contoh, anda boleh mendaftar untuk pembayaran automatik dengan bank anda. Pastikan anda menetapkan jumlah bayaran yang lebih daripada bayaran minima bulanan. Jika tidak, hutang anda boleh bertambah pada kadar yang amat cepat.